Sunday 8 May 2011

kepentingan penangkutan awam


KEPENTINGAN PENGANGKUTAN AWAM

Era globalisasi ini, penggunaan kemudahan pengangkutan awam dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas, menjimatkan wang dan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negara kita. Hal ini demikian kerana penggunaan kemudahan pengangkutan awam ini telah mendapat perhatian dan menarik minat pengguna jalan raya di negara ini. Pengguna jalan raya menggunakan alternetif ini bagi memudahkan mereka menuju ke destinasi masing-masing. Lantaran itu, mereka telah memilih pelbagai pengangkutan awam seperti bas, LRT, monorel dan kereta api sebagai pengangkutan utama mereka. Oleh itu, pertumbuhan pengangkutan awam ini telah meningkat dengan mendadak seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Persoalannya, apakah kepentingan yang dapat diperoleh melalui kemudahan pengangkutan awam ini?

Kepentingan perdana menggunakan kemudahan pengangkutan awam ialah kita dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas. Kesesakan lalu lintas berlaku kerana rata-rata rakyat Malaysia lebih berminat menggunakan kenderaan sendiri berbanding menggunakan pengangkutan awam. Oleh sebab rakyat Malaysia yang bersikap hidung tinggi dan malu untuk menaiki kenderaan awam mengakibatkan jumlah kenderaan di seluruh negara didapati meningkat hampir dua kali ganda sejak tahun 1980. Oleh sebab itu, kesesakan lalu lintas sering berlaku di negara kita,terutama sekali di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Shah Alam, Kota Bharu,dan sebagainya. Dengan menggunakan kemudahan pengangkutan awam seperti bas, teksi, monorel akan mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya, sekali gus dapat mengelakkan kesesakan lalu lintas. Sebagai contoh, masyarakat di negara matahari terbit iaitu Jepun, mereka lebih suka menggunakan pengangkutan awam untuk melakukan kegiatan harian mereka, oleh itu di negara Jepun tidak berlaku kesesakan lalu lintas walaupun negara Jepun mempunyai penduduk yang ramai. Seandainya rakyat Malaysia menggunakan pengangkutan awam sebagai rutin harian, nescaya kesesakan lalu lintas dapat dielakkan. Oleh itu, pihak pengusaha pengangkutan awam perlu menyediakan pengangkutan yang selesa supaya dapat menarik minat para penumpang agar rakyat Malaysia tidak berasa sangsi untuk menggunakan pengangkutan awam dan kesesakan lalu lintas dapat diatasi. Jelaslah bahawa penggunaan kemudahan pengangkutan awam dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di negara ini.

Selain itu, penggunaan pengangkutan awam juga mampu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negara kita. Hal ini dikatakan demikian kerana, amaun kenderaan yang menyusur di jalan raya berkurang dan sekali gus dapat mengalicaukan kenderaan daripada terperangkap dalam kesesakan lalu lintas yang teruk terutamanya di ibu kota. Sebagai pengguna yang peka dan sensitif terhadap keadaan semasa, kita haruslah sedar bahawa, penggunaan kenderaan persendirian yang bertali arus dapat mengundang risiko yang tinggi untuk berlaku kemalangan. Sekiranya, semua rakyat Malaysia memprioritikan pengangkutan awam, sudah tentu statistik kemalangan jalan raya akan menurun dan secara tidak langsung juga negara tidak akan mengalami kerugian dari segi infrastruktur dan modal insan. Sebenarnya, kadar kemalangan jalan raya meningkat secara mendadak pada musim perayaan dan pada waktu puncak kerana pada ketika itu bilangan kenderaan di jalan raya juga meningkat. Jadi semolek-moleknya, jika kita ingin pulang ke kampung pada musim perayaan kita wajarlah menggunakan perkhidmatan awam yang terdapat dalam negara kita sebagai contoh bas, kereta api dan kapal terbang. Oleh itu, penggunaan pengangkutan awam akan dapat mengelakkan seseorang daripada menjadi mangsa nahas kemalangan jalan raya yang keseterusnya. Kita harus ingat bahawa malang tidak berbau jadi kita perlulah beringat sebelum terkena.

Seterusnya, penggunaan kemudahan pengangkutan awam juga dapat memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di negara kita. Untuk menuju ke destinasi, masyarakat yang berbilang kaum di negara kita akan berpusu-pusu menaiki pengangkutan awam untuk menuju ke destinasi. Situasi sedemikian sedikit sebanyak dapat menyimpul tali silaturahim antara komuniti Melayu, Cina, India dan sebagainya. Sebagai contoh, apabila kita menaiki sesebuah pengangkutan awam khususnya monorel sudah semestinya kita akan berinteraksi dengan individu-individu di sekeliling kita. Seandainya kita menggunakan inisiatif ini secara konsisten, sudah tentu satu ikatan yang erat dapat dijalinkan sekali gus merealisasikan slogan 1Malaysia yang berteraskan satu jiwa satu bangsa. Tegasnya, penggunaan kemudahan pengangkutan awam dapat memupuk perpaduan yang jitu dalam kalangan masyarakat Malaysia yang akan membawa kepada pembentukan sebuah negara yang aman dan sentosa ibarat ‘air dalam talam.’

Tambahan pula,penggunaan kemudahan awam dapat merealisasikan persekitaran yang mesra alam selari dengan hasrat kerajaan untuk mewujudkan sebuah negara yang bebas daripada pencemaran.Hal ini dikatakan demikian kerana gas karbon monoksida yang dilepaskan daripada asap kenderaan dapat dikurangkan ekoran berkurangnya jumlah kenderaan di jalan raya.Sebagai contoh,pembebasan asap daripada kenderaan akan mendatangkan pelbagai impak negative terutama kepada kesihatan manusia dan alam sekitar.Dalam konteks ini,asap yang dikeluarkan oleh kenderaan akan menipiskan lapisan ozon dan memaksimumkan tahap pencemaran kualiti udara.Pencemaran udara ini diibaratkanseperti duri dalam daging kepada alam sekitar dan kesihatan manusia.Jika masyarakat menyahut seruan kerajaan untuk menggunakan kemudahan pengangkutan awam,maka tahap pencemaran alam sekitar dapat diminimumkan sekali gus dapat melestarikan persekitaran yang bersih dan indah.Sudah terang lagi bersuluh,penggunaan kemudahan pengangkutan awam dapat merealisasikan persekitaran yang mesra alam.

Tuntasnya, penggunaan perkhidmatan awam di Malaysia menyumbang banyak manfaat dan kelebihan kepada kita semua. Dunia serba moden era ini memerlukan masyarakat yang berdaya saing dalam segala hal. Kerajaan juga hendaklah menaiktaraf perkhidmatan awam di Malaysia agar setanding dengan negara maju yang lain bak kata pepatah “Berdiri sama tinggi, duduk sama rendah”. Oleh itu, masyarakat Malaysia diseru supaya bersama-sama menggunakan pengangkutan awam agar hasrat kerajaan untuk memajukan negara tidak tinggal impian semata-mata seiring dengan wawasan 2020.

No comments:

Post a Comment

write just u like !!!!!